Lima sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Tun Hussein Onn, Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim, SK TUDM Subang, SK Batu 10 Kuantan dan SK Kementah.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, kesemua sekolah tersebut bakal menyediakan kemudahan-kemudahan persekolahan dalam mengasimilasikan pembelajaran maya dan meningkatkan keupayaan anak-anak ATM untuk mengakses pelbagai maklumat pembelajaran bersesuaian.

“Ini adalah bertujuan meningkatkan minat mereka (pelajar) dalam menuntut ilmu dan mengejar kecemerlangan yang lebih menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

“Usaha ke arah itu telah pun sedang diusahakan melalui lima buah sekolah dalam kem sebagai permulaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM ke-28 di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Majlis tersebut menyaksikan seramai 218 anak-anak warga ATM yang cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada tahun lepas menerima anugerah yang disampaikan oleh Mohamad. - UTUSAN ONLINE