Mengetuai senarai pertukaran itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi, Bukit Aman.

Turut terlibat dalam pertukaran itu ialah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh yang dilantik sebagai Pe­ngarah JSJK menggantikan Acryl Sani.

Menurut Ketua Urus Setia Ke­tua Polis Negara (Komunikasi Korporat), Datin Asmawati Ahmad, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim pula dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur baharu dengan memang­ku pangkat Komisioner.

Beliau berkata, Timbalan Pe­ngarah Pengurusan (Per­khidmatan/ Perjawatan) Jabatan Pengurusan, Bu­kit Aman, Datuk Fatimah Abd Hamid pula akan bertukar sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bu­kit Aman.

Ujarnya, Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman, Deputi Komisioner Omar Mammah pula bertukar sebagai Timbalan Ketua Polis Perak menggantikan Datuk Zainuddin Yaacob yang ditukarkan kepada Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur.

“Selain itu, Timbalan Pengarah Jenayah Sindiket Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin pula akan menjawat jawatan Timbalan Pe­ngarah JSJK, Bukit Aman.

“Turut dinaikkan pangkat sebagai Deputi Komisioner ialah Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Ruslan Hassan yang menggantikan jawatan Saiful Azly,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, turut terlibat dalam pertukaran iaitu Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Komuniti, Bukit Aman Datuk Zainol Abu yang bertukar sebagai Timbalan Pengarah (Perkhidmatan/ Perjawatan) Jabatan Pengurusan, Bukit Aman dengan memangku jawatan sebagai Deputi Komisioner.

Ketua Penolong Pengarah Pe­ngurusan (Rekod Personel) Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan Pe­ngu­rusan, Bukit Aman, Datuk Yong Lei Choo pula akan bertukar sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

Turut tersenarai dalam pertukaran tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Pendataan/ Analisa Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman, Datuk Sun Teoh Tia yang memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Melaka yang baharu.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG), Skuad Taktikal Khas 3, Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Muhammed Hasbullah Ali akan bertukar sebagai Ketua Pusat pengajian Sains Pengurusan Maktab PDRM, Kuala Lumpur.

“Turut terlibat dalam rombakan itu ialah Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nadri Hussain yang menggantikan jawatan Muhammed Hasbullah dengan pangkat Senior Asisten Komisioner,” ujarnya.

Sehubungan itu, senarai penuh pertukaran dan kenaikan pangkat pegawai-pegawai terbabit boleh dilayari menerusi laman Facebook Rasmi PDRM.