Menurut mereka, aktiviti bot kenka atau bot ‘lohong’ itu semakin serius sejak kebelakangan ini dengan jumlahnya juga kian bertambah dan pernah dikesan antara 10 hingga 15 buah pada satu-satu masa.

Pengerusi Persatuan Nelayan Teluk Bahang, Johari Moha­mad berkata, aktiviti bot lohong tidak berlesen itu menyebabkan sumber laut di kawasan pantai berkenaan susut mendadak sekali gus mengancam mata pencarian nelayan pantai.

JOHARI MOHAMAD
JOHARI MOHAMAD 

Ini kerana, katanya, aktiviti bot lohong itu menggunakan enjin dan pukat lebih besar sekali gus turut mengaut anak-anak dan benih hidupan laut seperti ikan, ketam dan udang yang boleh menyebabkan kepupusan.

“Mereka juga turun ke laut lebih awal iaitu bermula pukul 2 pagi hingga 9 pagi setiap hari dan mengaut semua hasil laut.

“Akibatnya, tidak ada apa-apa lagi yang bersisa untuk ditangkap nelayan pantai yang kebiasaan­nya mula ke laut pukul 7 pagi apatah lagi dengan bot dan pukat kecil yang kami gunakan,” katanya ketika ditemui selepas menyertai perhimpunan aman bersama-sama lebih 30 nelayan bagi membantah pencerobohan bot kenka haram berkenaan di pantai Tanjung Bungah di sini hari ini.

Menurutnya, apa yang dikesalkan juga apabila aktiviti bot lohong itu turut memusnahkan pukat nelayan pantai yang dirempuh bot tersebut menyebabkan mereka menanggung kerugian.

Sementara itu, nelayan, R. Ravichandran berkata, hasil tangkapannya ketika ini semakin berkura­ngan saban hari kerana tidak mampu bersaing dengan bot kenka yang mengaut semua sumber laut dengan rakus.

Katanya, dia pernah pulang dengan tangan kosong atau hanya mampu meraih pendapatan RM50 meskipun seha­rian memukat ikan di laut berbanding antara RM200 hingga RM300 sebelum ini.

“Malah, saya juga pernah diugut oleh nelayan bot kenka ketika menegur mereka supaya beredar dari kawasan nelayan pantai.

“Memandangkan mereka ramai, jadi tidak ada apa-apa yang boleh saya lakukan melainkan pulang dan membuat laporan kepada persatuan dan Polis Marin,” katanya.

Difahamkan, pengusaha bot nelayan kenka itu berpangkalan di Kuala Muda, Kedah dan Seberang Perai di sini, selain mereka menggunakan bot dengan enjin lebih besar serta menggunakan awak-awak warga asing.