Pembikinan video tersebut yang bakal mendapat tajaan pihak swasta, akan menonjolkan budaya, kesenian, makanan, produk serta kisah-kisah kebanggaan negeri ini untuk diceritakan kepada dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, pada masa sama, pihaknya yakin satu penerbangan terus dari Ipoh ke Guangzhou juga akan mula beroperasi menjelang suku pertama tahun ini.

"Video itu bukan bersifat video korporat dan tidak melebihi lima minit. Misalnya, ia boleh menceritakan kisah seorang makcik yang mencari rezeki dengan membuat labu sayung.

"Di China, mereka menggunakan sistem carian internet berbeza dan tidak menggunakan Google mahupun Whatsapp. Saya agak terkejut apabila nama Perak dalam sistem carian internet di sana, agak tidak menggalakkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Pengurus Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Mohd. Ali Osman dan Pengarah Eksekutif Weil Hotel, Liew Yu-Wei di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kar Hing berkata, hasil daripada maklum balas pemain industri di China, beliau berkata, Ipoh dikatakan masih lagi ketinggalan dalam penggunaan pembayaran tanpa sentuh seperti Alipay dan WeChat.

Sehubungan itu katanya, pihaknya harus meyakinkan pengusaha syarikat makanan dan minuman tempatan khususnya, untuk mengaplikasi sistem pembayaran tersebut yang kini lebih banyak digunakan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. - UTUSAN ONLINE