Muhamad Jailani Khamis.
Muhamad Jailani Khamis. 

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebahagian daripada mereka merupakan pelajar sekolah yang berumur bawah 18 tahun.

“Setakat ini, kita sudah mengenal pasti kira-kira 40 pengayuh beca tidak mempunyai lesen dan saya berharap agar MBMB mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang beroperasi secara haram ini selain hanya membenarkan pengayuh beca berlesen sahaja beroperasi.

“Saya mohon kepada semua pengusaha beca agar menjaga nama baik beca Melaka, pastikan tiada yang melanggar peraturan,” katanya ketika berucap pada Majlis Bacaan Yassin dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada pengayuh beca di Bandar Hilir, di sini hari ini.

Pada majlis itu, lebih 300 pengayuh beca sekitar bandar raya ini menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan makanan sebagai persiapan awal menyambut Aidilfitri.

 

Muhamad Jailani berkata, sebanyak 12 aduan diterima tahun lepas mengenai pengayuh beca iaitu lapan daripadanya membabitkan pencemaran bunyi muzik yang dipasang pada kenderaan terbabit yang didakwa mengganggu ketenteraman pelancong dan rumah ibadat.

“Selebihnya merupakan aduan melibatkan kes pergaduhan sesama pengayuh beca dan caj bayaran yang tinggi kepada pelancong yang menggunakan perkhidmatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata sehubungan itu pengayuh beca digesa menghormati semua pihak dengan memasang lagu pada tahap berkesesuaian semasa membawa penumpang selain menutupnya ketika melalui mana-mana lokasi rumah ibadat. - BERNAMA