Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, programa anjuran USIM dengan kerjasama Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad bakal menyaksikan aktiviti menarik melalui lima kluster melibatkan Acara Pentas dan Persembahan, Santai Selebriti, ‘Kid’s Corner’, Riadah dan Rekreasi serta Pameran dan Jualan.

Jelasnya, keunikan pesta kali ini turut mendapat kerjasama daripada Muslim Care di mana tema Pesta Konvokesyen pada tahun ini adalah Bersantai Sambil Beramal yang secara tidak langsung menyumbang kepada Tabung Kemanusiaan Global.

“Beberapa orang artis turut memeriahkan pesta kon kali ini seperti Diana Amir dan UNIC.

“Malah, pelajar USIM akan bertolak ke Jordan pada hari ini bagi menjalankan Global Islamic Student Outreach (GISO) dengan penglibatan artis Afdlin Shauki dan Aziz M. Osman yang memfokuskan bantuan kepada kem pelarian Syria,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pesta Konvokesyen USIM Ke-13 di sini yang disempurnakan oleh Pro Canselor USIM, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan; Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor dan Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan.

Jelas beliau, pesta berkenaan menawarkan lebih 80 buah gerai jualan dan pameran yang turut disertai oleh Karnival Siswa selain penampilan produk-produk keluaran Linggi selain pertandingan memancing terbuka Ahad ini.

“Selaku tuan rumah, saya berharap agar kerjasama ini khususnya Kumpulan Utusan akan mewujudkan situasi menang-menang yang akhirnya bukan sahaja memanfaatkan penduduk sekitar Nilai,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, Tunku Ali Redhauddin yang juga Tunku Besar Seri Menanti berkesempatan menghabiskan masa lebih 15 minit mengadakan lawatan ke tapak pameran Kumpulan Utusan di sini.