Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berharap kerajaan negeri dapat memberikan kerjasama dalam membantu memudahkan proses rundingan dengan pemilik tanah terbabit.

“Empat kawasan yang dikenal pasti itu termasuk di Kampung Peria yang membabitkan tanah seluas 2.4 hektar, Kampung Machang (3.24 hektar), Kampung Manjung (tiga hektar) dan Kampung Gual Ikan (3.6 hektar).

“Kita minta kerjasama kerajaan negeri untuk membantu dalam perundingan dengan pemilik tanah supaya kita dapat beli dengan harga yang munasabah selain berharap proses tersebut dapat dipercepatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah kekal kepada empat keluarga mangsa bah kuning di Kampung Guchil di sini, semalam.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, sehingga kini sebanyak 18 keluarga mangsa bah kuning di daerah ini telah mene­rima rumah kekal.

Katanya, sebanyak 10 buah keluarga lagi akan menerima rumah kekal tersebut sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Hari ini kita telah sampaikan kunci kepada empat keluarga di Guchil. Kita mahu supaya mereka berpindah sebelum hari raya kerana sebelum ini ada di antara mereka yang menyewa rumah dan tinggal bersama keluarga,” katanya.