ADLY ZAHARI
ADLY

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, jumlah 399 kes itu meliputi 77 peratus daripada keseluruhan masalah rakyat yang dibawa kepada pihaknya dalam program berkenaan yang diadakan pada setiap hari Jumaat di Seri Bendahara.

Menurut beliau, daripada keseluruhan 517 aduan itu juga, pihaknya sedang mengambil tindakan untuk menyelesaikan sejumlah 108 kes atau aduan yang mewakili 21 peratus manakala 10 aduan lagi iaitu dua peratus tidak dapat diselesaikan.

"Pecahan aduan-aduan yang dikemukakan oleh rakyat adalah melibatkan aspek penerimaan bantuan sebanyak 15 peratus, perihal tanah (15 peratus), perumahan dan pekerjaan (masing-masing 10 peratus), isu kewarganegaraan (sembilan peratus) dan cadangan termasuk hal-hal perniagaan, umum, pelaburan kepada ketua menteri (sembilan peratus).

"Aduan ini hanya diperoleh pada program Hari Bertemu Rakyat dan ini tidak termasuk aduan yang dipanjangkan menerusi aplikasi WhatsApp, media sosial namun kerajaan negeri berhasrat untuk mencari kaedah untuk menyelesaikan masalah rakyat secara lebih komprehensif," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajan negeri di Seri Negeri, di sini petang ini.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri akan menganjurkan program gotong royong sempena menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini dan persiapan awal menyambut Tahun Melawat Melaka 2019.

Menurutnya, program ini akan diadakan pada 14 September depan bermula pukul 4.30 petang hingga 7 malam di Taman Botanikal Ayer Keroh membabitkan wakil institusi pengajian tinggi (IPT), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Pejabat Tanah dan Daerah serta Kumpulan Melaka Berhad.

"Penyertaan orang ramai untuk menyertai program gotong royong ini turut dialu-alukan dan asas kita selain sempena menyambut Hari Malaysia, kerajaan negeri berharap akan ada lebih banyak program seperti ini bermula bulan ini sehingga penghujung tahun di semua peringkat sempena Tahun Melawat Melaka 2019," jelasnya. - UTUSAN ONLINE