HALIM SHAFIE

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Mul­timedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Dr. Halim Shafie berkata, tahap penembusan ja­lur lebar semasa juga mencatatkan kadar 84.5 peratus serta memenuhi permintaan semua peranti yang menggunakan perkhidmatan ber­­kenaan.

“SKMM berpandangan bahawa e-pembayaran akan menjadi salah satu faktor utama untuk menjayakan visi Malaysia ke arah ekonomi digital. Dalam menyokong inisiatif-inisiatif ini, SKMM telah berusaha gigih untuk mencapai kelestarian jalur lebar dan penembusan telefon pintar peringkat tinggi,” katanya dalam sidang akhbar Ekspo Fintech Malaysia 2018 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Suruhanjaya SKMM, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Ekspo Fintech Malaysia 2018 anjuran Persatuan Usahawan Dinamik dijangka mengumpulkan lebih 50 pempamer tempatan dan antarabangsa yang bakal mempamerkan rangkaian, produk dan perkhidmatan teknologi kewangan (Fintech).

Ekspo yang julung kali diadakan itu akan berlangsung selama dua hari pada 5 dan 6 Mac depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan pelbagai pengisian termasuk pameran, forum dan sesi perkongsian daripada penggiat industri.

Selain itu, Majlis Anugerah Fintech Malaysia 2018 turut akan diadakan bagi mengiktiraf pencapaian syarikat teknologi kewangan di Malaysia yang berterusan menyediakan perkhidmatan pa­ling inovatif dan terkini kepada pelanggannya.

Dalam pada itu, Halim menambah, segmen e-pembayaran adalah sa­ngat menggalakkan dan berdasarkan maklumat yang di­peroleh daripa­da Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah urus niaga perbankan Internet untuk individu telah meningkat tiga kali ganda.

Daripada 141.3 juta transaksi pada tahun 2011 kata beliau, urus niaga ber­kenaan meningkat kepada 435.4 juta transaksi pada 2016.

Menurutnya, pertumbuhan positif itu boleh dikaitkan de­ngan rangka kerja melibatkan insentif harga dan pasaran yang dilaksanakan BNM serta program kesedaran berterusan oleh bank pusat berkenaan bersama industri perbankan untuk me­ningkatkan keyakinan terhadap penggunaan perbankan Internet.

“Kerugian melibatkan penipuan perbankan dalam talian untuk individu di Malaysia juga kekal sangat rendah iaitu 0.0004 peratus daripada jumlah urus niaga transaksi dan 0.0017 peratus daripada jumlah nilai transaksi pada tahun 2016.

“Ini menunjukkan bahawa keyakinan terhadap e-pembayaran kini semakin meningkat dan semakin ramai rakyat mendapati ia menjadi cara yang selamat dan mudah untuk berurusniaga. Kami percaya bahawa bagi Malaysia untuk meneruskan kemajuannya, semua pengawal selia dan agensi perlu bekerjasama untuk memastikan kejayaan visi negara,” katanya.