Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, dengan peruntukan sebanyak RM200 juta pada tahun ini, kementerian itu hanya boleh membina sebanyak 1,532 rumah.

"Apabila saya turun berjumpa rakyat, ramai yang hendak minta rumah. Sehinggakan ada satu negeri itu permohonannya melebihi peruntukan rumah PPRT untuk seluruh Malaysia.

"Kalau banyak peruntukan memang saya hendak bantu semua orang tetapi tidak boleh dengan ekonomi sekarang dan keadaan yang kita warisi hutang daripada kerajaan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Prototaip Rumah Sistem Bangunan Berindustri (IBS) PPRT di Pusat Giat Mara Seremban di sini hari ini.

Yang turut hadir timbalannya, R. Sivarasa; Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar negeri, Ismail Ahmad.

Sementara itu, dalam sidang akhbar, Rina berkata, kementerian itu melaksanakan pembinaan rumah PPRT menggunakan teknologi IBS kerana kosnya dapat dikurangkan sehingga 18 peratus berbanding pembinaaan secara konvensional.

"Rumah baharu dapat disiapkan dalam tempoh antara empat hingga enam minggu berbanding tiga bulan, manakala kosnya adalah kira-kira RM45,000 berbanding RM56,000 melalui kaedah konvensional," jelasnya.

Beliau berkata, sebanyak 60 peratus atau 919 buah daripada 1,532 rumah PPRT pada tahun ini akan dibina menggunakan teknologi tersebut. - UTUSAN ONLINE