Menurut sumber, suspek-suspek tersebut didapati telah mengeluarkan sijil palsu Master Degree, Ijazah Sarjana Muda dan diploma tanpa memerlukan seseorang mengikut kursus pembelajaran itu.

Ujarnya, sindiket ini hanya akan mengambil masa selama seminggu untuk menyediakan sijil palsu tersebut menggunakan nama universiti swasta terlibat.

“Difahamkan, sijil pentauliahan palsu itu boleh diperoleh dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM16,000.00 bergantung dengan jenis sijil dan universiti swasta,” katanya.

Sumber memberitahu, ketiga-tiga suspek yang berusia 34 dan 30 tahun itu ditahan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dalam satu operasi yang dilancarkan kira-kira pukul 4 petang ini.

Jelasnya, seorang daripada suspek yang ditahan merupakan warganegara India berusia 30 tahun.

“Mereka yang ditahan merupakan orang tengah yang menguruskan proses pembelian sijil palsu tersebut.

“Pasukan penyiasat kini dalam proses mengenal pasti individu yang bertanggungjawab untuk mencetak sijil pentauliahan palsu itu,” katanya.

Tambah sumber, pihak SPRM juga sedang menyiasat sama ada terdapat penglibatan orang dalam universiti swasta yang bersubahat dengan kegiatan sindiket ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, pihaknya masih mengesan beberapa suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan ini.

“Kesemua suspek dijangka dihadapkan ke Mahkamah Putrajaya esok untuk direman.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya.-UTUSAN ONLINE