Mereka ialah pasangan suami isteri iaitu Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kayu Ara Pasong, Md. Yusof Md. Yunos, 59, dan pasangannya, Pembantu Tadbir di SK Jaya Mulia, Ayer Baloi, Jaharah Daiman, 57.

Anak kedua pasangan tersebut, Syafiq Md. Yusof, 32, yang bertugas sebagai guru di SK Rambah turut menerima APC bagi kali pertama.

Menurut Md. Yusof yang menerima APC bagi kali kedua tidak menduga akan menerima APC bersama-sama isteri dan anaknya pada tahun ini memandangkan mereka bertugas di sekolah yang berasingan.

Beliau yang akan bersara pada tahun depan berkata, kerjaya sebagai guru bermula pada 1984 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Kulai sebagai guru biasa sebelum dinaikkan pangkat sebagai Guru Besar di SK Sinaran Chokoh.

“Tentunya APC yang diterima sebelum menamatkan perkhidmatan sebagai pejawat awam begitu bermakna sekali ditambah dengan kehadiran isteri dan anak saya pada masa yang sama,” katanya ditemui Utusan Malaysia selepas majlis penyampaian APC di Dewan Sri Gemilang SMK Dato Penggawa Barat, di sini kelmarin.

Majlis penyampaian disempurnakan Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Ab. Rahim Lamin. Yang turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Pontian, Shaharudin Basri Ibrahim.

Pada majlis tersebut seramai 263 guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) menerima APC bagi 2018 sebagai menghargai kecemerlangan mereka dalam tugas-tugas yang dijalankan.

Menurut Md. Yusof, anugerah tersebut cukup bermakna kerana beliau dan isteri akan bersara tidak lama lagi. - UTUSAN ONLINE