Selain barah payu dara, ibu mereka, Nur Aklima Ab. Llah, 34, juga menghidap penyakit sawan (epilepsi) dan memerlukan penjagaan rapi Nur Syakila Mohd. Radzuan, 13, Nurul Syuhada, 9, dan Nurul Laila Nabila, 8, sementara bapa mereka keluar bekerja mencari rezeki.

Bapa tiga beradik itu, Mohd. Radzuan Razali, 38, berkata, akibat kerap ponteng, salah seorang anaknya pernah dibuang sekolah, namun diterima kembali selepas gurunya mengetahui masalah dihadapi mereka sekeluarga.

Rentetan masalah itu katanya, dia kini juga sudah beberapa hari 'ponteng' kerja sebagai buruh dan tukang rumah kerana tidak sanggup melihat anak-anaknya diambil tindakan oleh guru di samping ketinggalan dalam pelajaran gara-gara tidak ke sekolah.

"Kemiskinan hidup keluarga kami bagaikan 'sudah jatuh ditimpa tangga' namun saya reda dengan ketentuan Ilahi sebagai dugaan hidup yang perlu diharungi," katanya ketika diziarahi Kelab Volunteer I Care (VIC), di sini hari ini.

Mohd. Radzuan berkata, apabila cuti sekolah sempena perayaan Tahun Baru Cina selama seminggu bermula esok, tugas menjaga isteri akan diambil alih tiga anak-anaknya dan dia boleh keluar mencari rezeki semula.

"Anak sulung saya belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut, manakala dua lagi belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh (Perempuan) dan seorang lagi anak lelaki, Mohd. Nor Khairul baru berumur 4 tahun.

"Kami tinggal di rumah yang dibina sendiri di atas tanah milik kerajaan negeri. Kerana saya jarang keluar bekerja, kenyang atau lapar kami sekeluarga bergantung sepenuhnya bantuan bulanan persekolahan anak-anak sebanyak RM300 sebulan," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi VIC, Muhammad Afiq Aiman Sukry ketika ditemui berkata, VIC menghulurkan barangan keperluan makanan harian bagi meringankan bebanan keluarga itu.

"Mohd. Radzuan memberitahu saya, dia bimbang mungkin dihalau pemaju kerana tanah itu bakal dimajukan sebagai taman perumahan. Mereka kini bergantung hidup dengan dia yang hanya bekerja sebagai buruh selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Setakat ini kami telah menyampaikan bantuan berbentuk barangan dapur dan alat tulis. Keluarga ini juga menerima bantuan wakaf Telekung dan Kain Pelikat yang telah diamanahkan kepada kami untuk disalurkan kepada golongan asnaf," katanya.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun Kelab VIC Pasir Puteh menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) - 0300241100004797 dan memaklumkannya menerusi Whatsapp ke nombor 60199344077. - UTUSAN ONLINE