MOHD. HASHIM
MOHD. HASHIM

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berkata, sehingga suku keempat 2016, hanya 14.2 juta warganegara mendaftar sebagai pe­ngundi berbanding 18 juta jumlah keseluruhan warganegara yang layak mendaftar.

Katanya, kesedaran tersebut juga kurang dalam kalangan pelajar universiti kerana dalam purata 5,000 pelajar berumur 21 tahun, hanya 2,000 atau 40 peratus sahaja mendaftar sebagai pemilih.

“Angka 3.8 juta tersebut adalah agak besar dan jika mereka tidak mendaftar, mereka tidak dapat mengundi dalam pilihan raya nanti.

“Bagi memastikan lebih ramai mendaftar, SPR dengan kerjasama Unit Perancangan Ekonomi (EPU) turun padang dengan membawa karavan ke universiti dan ke pinggir bandar untuk membuka kaunter daftar pemilih.

“Selepas ini, SPR juga pergi ke sekolah untuk memastikan guru turut mendaftar. Jika kita tidak agresif dan mengambil inisiatif untuk mendaftarkan mereka sebagai pengundi, angka tersebut mungkin akan meningkat lagi,” katanya selepas majlis Bicara Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia dan Program Pendidikan Pengundi di UKM, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal.

Sementara itu, Mohd. Hashim berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk mengendalikan proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekiranya diadakan pada bila-bila masa.

Menurutnya, cabaran berat yang dihadapi oleh SPR adalah persepsi negatif agensi tersebut di media sosial seperti Facebook dan Twitter seolah-olah SPR hanya berusaha untuk memberi kemenangan kepada satu parti politik sahaja.

“Kalau betul SPR ini jahat, kenapa negeri-negeri yang kaya seperti Selangor dan Pulau Pinang dapat kepada parti pembangkang? Kelantan pula 27 tahun dipegang oleh parti pembangkang. Saya tidak pernah meminta pengundi untuk mengundi mana-mana parti, tetapi saya hanya menyuruh mereka mengundi.

“Sekarang sudah menjadi trend untuk membawa SPR ke mahkamah. Buat masa ini kita tidak boleh teruskan persempadanan di Selangor kerana kerajaan Selangor halang di Mahkamah,” katanya.