Sehubungan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, usaha memperkasa komuniti yang digerakkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)  menerusi Kempen Perangi Dadah Habis-Habisan haruslah dipergiatkan dan disebar luas kepada masyarakat.

Menurutnya, langkah itu adalah bagi mencegah dan membendung tingkah laku negatif dalam komuniti.

"Marilah kita sama-sama menjaga komuniti kita dengan mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita tidak boleh mengharap kepada pihak berkuasa atau kerajaan semata-mata dalam menangani isu permasalahan dadah.

"Ini kerana dadah adalah masalah kepada seluruh masyarakat dan ianya tidak akan selesai tanpa tindakan bersepadu," katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Antidadah Kebangsaan 2019 di sini malam ini.

Sementara itu, Mohd. Azis menambah, kepelbagaian dadah psikoaktif jenis baru (NPS) yang menjadi ancaman utama kepada masalah penagihan dadah pada masa kini, telah mencatatkan peningkatan sebanyak 136 peratus.

Beliau berkata, sebanyak 803 jenis NPS pada telah ditemui tahun 2017 berbanding hanya 340 pada 2009.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, nilai rampasan dadah pada tahun lalu adalah sebanyak RM516, 323,266, iaitu peningkatan sekali ganda berbanding RM 292,221,798 pada 2017.

Tegasnya, ini menunjukkan bahawa sindiket pengedaran dadah sanggup melakukan apa sahaja untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan tindakan undang-undang dan kesan kemusnahan terhadap penggunaannya.

"Bagi golongan ini, Kerajaan amat komited dan akan terus memerangi mereka ini melalui penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan sebagainya," katanya. - UTUSAN ONLINE