Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor berkata, kesemua mereka masih bertugas sehingga pihaknya menerima surat daripada pihak berkaitan bagi tujuan penggantungan kerja kakitangan terlibat sepanjang perbicaraan kes.

"Kita sedang menunggu surat daripada pihak mahkamah dan ibu pejabat yang (mana) akan bermulanya penahan tugas mereka hingga kes selesai.

"Setakat ini belum ada (yang digantung tugas)," katanya kepada pemberita di ibu pjabat JPJ negeri di Seberang Jaya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamat Johari menegaskan, penahanan seramai 68 kakitangan JPJ negeri baru-baru ini bagi membantu siasatan kes rasuah lori kebal itu tidak menjejaskan operasi pihaknya.

Ujar beliau, sebanyak 60 peratus daripada kakitangan JPJ negeri yang ditahan itu terlibat di lapangan dengan melakukan rondaan dan operasi manakala 40 peratus lagi adalah mereka yang bertugas di pejabat atau bahagian-bahagian lain.

"Buat masa ini kita turut mendapatkan bantuan daripada JPJ Perak dan Kedah bagi melicinkan operasi melibatkan kawasan-kawasan sempadan negeri ini dan negeri jiran," katanya.

Awal bulan lalu, seramai 18 anggota JPJ negeri ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini atas dakwaan menerima rasuah daripada pemilik sebuah syarikat pengangkutan yang dipercayai melakukan kesalahan jalan raya khususnya yang membawa lebih muatan di sekitar negeri ini.

Mereka adalah sebahagian daripada kira-kira 70 pegawai dan anggota jabatan itu yang ditahan berhubung kes melindungi sindiket 'lori kebal' yang dibongkar April lalu. - UTUSAN ONLINE