Pengurus Pejabat Perkeso Georgetown, Rafidah Abd. Rahim berkata, alasan kewangan merupakan antara alasan utama yang sering digunakan oleh golongan ini walaupun skim tersebut diwajibkan ke atas mereka.

“Kita telah lama menjalankan kempen untuk mengalakkan mereka menyertai skim ini, namun pemandu teksi masih lagi kurang kesedaran untuk mendaftar serta mencarum menerusi skim ini.

“Kita harapkan menjelang 1 Ogos nanti, kesemua mereka akan mencarum untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya ketika menjalankan Ops Pemutihan Perkeso di sekitar Batu Feringghi di sini hari ini.

Menurut Rafidah caruman dalam Perkeso itu akan memberikan pelbagai faedah kepada pemandu teksi yang terdedah kepada pelbagai bahaya ketika menjalankan tugas.

“Ada beberapa pakej yang ditawarkan untuk pemandu teksi dan pakej terendah ialah caruman sebanyak RM157.20 untuk tempoh setahun.

“Faedah yang diterima bukan sahaja untuk pemandu teksi itu sendiri malah turut merangkumi waris-waris mereka,” katanya. - UTUSAN ONLINE