Program anjuran kali kedua itu diadakan selama sejam bermula pada pukul 7.30 malam tadi diketuai Penasihat Rumah Ngaji Malaysia, Safri Muhammad Zein.

Yang turut hadir dalam majlis itu ialah Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Uda Sulai; Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Sabah, Samin Ongki.

Ketika ditemui selepas program itu, Uda berkata, umat Islam digalakkan untuk mengamalkan budaya mencintai dan membaca al-Quran setiap hari tanpa mengira waktu.

Menurutnya, perkara tersebut tidak sukar kerana pembacaan amat mudah memandangkan boleh diakses menerusi teknologi telefon pintar dan perlu dimanfaatkan semua pihak.

“Kita tidak boleh memandang ringan isu ini kerana sebagai umat Islam yang beriman, amalan membaca al-Quran bukannya dilakukan pada masa tertentu sahaja seperti majlis keramaian, rasmi atau sebagainya tetapi perlu diamalkan setiap masa.

“Kalau kita boleh cenderung menggunakan teknologi seperti telefon pintar atau komputer riba setiap hari, apa salahnya untuk kita luangkan masa membaca al-Quran sekaligus dapat juga meningkatkan iman masing-masing,” katanya. - UTUSAN ONLINE