Pengurus Operasi Syarikat pengendali pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, E-Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman) Kedah dan Perlis, Ahmad Sharafi Mohd. Saad berkata, daripada jumlah tersebut, sisa makanan antara paling banyak dikutip iaitu sekitar 20 tan sehari.

Katanya, pembaziran makanan sempena bulan Ramadan ini terus berlaku dan pihaknya akan sentiasa meningkatkan kempen kesedaran mengenainya.

“Kita sangat berharap masyarakat tidak membazir makanan. Kita juga terus mempergiatkan kempen supaya pembaziran makanan ini dapat dikurangkan.

“Masyarakat juga dinasihatkan untuk mengelakkan pembaziran dan lebih menghargai makanan bagi mengurangkan jumlah penghantaran sisa ke tapak pelupusan,” katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa dan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim serta miskin di salah sebuah hotel, di sini semalam.

Seramai 50 anak yatim dan miskin dari Yayasan Saad serta Pusat Jagaan Hembusan Kasih menerima sumbangan selain diraikan dalam majlis tersebut.

Dalam pada itu, Ahmad Sharafi berkata, pihaknya menggunakan sebanyak 12 unit kompaktor, sembilan unit Armroll selain jengkaut serta lori sisa reba dengan kekuatan 74 orang pekerja bagi melancarkan operasi pembersihan sempena Ramadan dan Syawal ini.

“Kita juga akan mempertingkatkan operasi pembersihan menjelang musim perayaan berikutan peningkatan sisa pepejal ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, majlis yang diadakan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat pihaknya bersempena Ramadan. - UTUSAN ONLINE