Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Md. Yusop Mansor berkata, bagi DUN Balakong, terdapat 31 pengundi awal akan mengundi di ruang legar Kuarters Balai Polis Seri Kembangan.

Bagi DUN Seri Setia pula jelasnya, seramai 2,770 pengundi awal terlibat meliputi 2,597 anggota tentera dan pasangan serta 173 anggota polis.

“Untuk Seri Setia, anggota tentera dan pasangannya akan mengundi di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Subang manakala bagi anggota polis pula akan mengundi di Kompleks Polis Diraja Malaysia (PDRM) di TTDI Jaya.

“Bagi DUN Balakong pula, proses pengundian akan mula dibuka pada pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, sementara Seri Setia sehingga pukul 5 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Md. Yusop memberitahu kertas-kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi (saluran) pada hari mengundi itu, sebaliknya disimpan di lokap-lokap balai polis.

“Pengiraan kertas-kertas undi awal tersebut hanya akan dijalankan pada 8 September secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dengan disaksikan oleh ejen calon masing-masing.

“Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen calon yang bertanding selain pemerhati pilihan raya daripada wakil organisasi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik SPR juga turut menyaksikan proses pengundian awal tersebut,” ujarnya - UTUSAN ONLINE