Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, program itu dilaksanakan berdasarkan enam modul utama yang merangkumi pelbagai kluster untuk remaja.

Katanya, enam modul itu ialah kerohanian dan sahsiah, kebajikan dan kemasyarakatan, patriotisme dan perpaduan, kesihatan dan rekreasi, kemahiran dan kreativiti serta modul sukan.

“Remaja yang menyertai program ini adalah mereka yang menetap di Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Modul yang diperkenalkan itu berimpak positif kepada remaja yang menyertainya keraja ia meliputi pelbagai aspek,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian program Ikon Remaja Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Majlis perasmian yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Khalid, fasa pertama pelaksanaan program tersebut akan berlangsung selama enam hingga lapan bulan dengan pelaksanaannya dibuat secara santai melalui proses pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, dengan bertemakan ‘Wilayah Ceria Inspirasiku’, program berkenaan dilihat sebagai ejen perubahan kepada remaja dan memberi inspirasi ‘winning attitude’ untuk mereka bangkit mengecapi kemenangan.

“Program ini juga merupakan satu platform untuk menggunapakai kemudahan fasiliti sedia ada sepenuhnya seperti gelanggang seliaan Jabatan Belia dan Sukan serta DBKL.

“Saya percaya, aktiviti dan latihan yang dilaksanakan akan memenuhi minat remaja-remaja untuk memberi komitmen semasa mereka menyertai program ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, penganjuran program berkenaan membabitkan 21 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).-UTUSAN ONLINE