Pengarah Program Cultra 2018, Hazemi Hamidi berkata, menariknya Cultra 2018 ialah selain laluannya yang memenuhi citarasa pelari yang sukakan cabaran, mereka juga berpeluang berlari sambil menikmati suasana tanah tinggi yang mendamaikan terutama di kawasan ladang teh.

Katanya, acara larian denai itu yang memasuki edisi ketiga penganjurannya menerima sambutan menggalakkan apabila tidak sampai 15 minit pendaftaran dibuka di atas talian, kesemua tiket penyertaan habis dijual.

“Bentuk muka bumi di Cameron Highlands antara faktor utama yang menarik minat pelari untuk menyertai acara ini termasuk peserta antarabangsa, ditambah pula dengan kejayaan penganjuran pada edisi-edisi sebelum ini.

“Cultra 2018 yang mempertandingkan empat kategori iaitu 100 kilometer (km), 55 km, 30 km dan 15 km menjanjikan pengalaman berharga kepada para peserta untuk dibawa pulang,” katanya dalam sidang akhbar Cultra 2018, di sini semalam.

Menurut Hazemi, Cultra 2018 juga menjadi acara yang ditunggu-tunggu terutama oleh pelari antarabangsa bagi membolehkan mereka mengutip mata untuk melayakkan diri menyertai acara lebih besar iaitu Ultra Trail Mont-Blanc (UTMB) di Perancis dan Western States 100 di Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, ia sekali gus menjadikan Cultra 2018 sebagai acara berprestij dan setanding dengan acara-acara larian denai antarabangsa yang lain.

“Di samping itu, Cultra 2018 turut mengadakan acara pra-perlumbaan seperti Pasar Tempatan Cultra, Jamuan Teh Cultra, persembahan kebudayaan serta banyak lagi.

“Selain meraikan para peserta, acara-acara sampingan ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) penganjur dalam menyumbang kepada ekonomi masyarakat tempatan serta memeriahkan lagi aktiviti hujung minggu di Cameron Highlands,” katanya.

Dalam majlis itu, pihak penganjur turut melancarkan acara Cameron Night Run (Camrun) yang akan berlangsung pada 31 Mac tahun depan sempena sambutan Earth Hour.

Pendaftaran untuk Camrun boleh dibuat di laman web www.cameronnightrun.com bermula 12 Ogos ini. - UTUSAN ONLINE