Mendahului senarai penerima dalam majlis di sini hari ini ialah Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Datuk Zamani Hamdan dan Ketua Jabatan Pengurusan IPK Selangor, Senior Assisten Komisioner Sulaiman Salleh.

Juga Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Pulau Pinang, Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah di samping Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Idris Abdullah dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar.

Penyampaian disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sempena perasmian Persidangan Agung Tahun 2018 Persatuan Pegawai Kanan dan Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Hotel TH di sini.

Yang hadir sama, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Asri Yusoff; Presiden Persatuan Pegawai Kanan PDRM, Sulaiman Yahaya dan Pemangku Ketua Polis Terengganu, Datuk Idris Abdullah.

Menurut Mohamad Fuzi, kebanyakan penerima pingat telah menabur bakti selama lebih 35 tahun dalam PDRM termasuk ada di antaranya yang berkhidmat sejak era komunis, justeru jasa mereka itu wajar diberi penghargaan sebagai motivasi atas kecemerlangan yang ditonjolkan.

Terdahulu, beliau turut melancarkan laman Facebook (FB) rasmi Persatuan-Persatuan PDRM yang dibangunkan pada April lalu iaitu gabungan persatuan terlibat bagi memaparkan maklumat mengenai program-program yang dianjurkan di samping informasi terkini.

Gabungan ini terdiri daripada Persatuan Pegawai Kanan PDRM (PPKP); Persatuan Pegawai Rendah PDRM (PPRPD) dan Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam PDRM Semenanjung, Sabah dan Sarawak. - UTUSAN ONLINE