Jumlah notis kompaun tersebut adalah setakat 21 Julai sejak inisiatif tersebut diperkenalkan pada 1 Julai lalu di mana kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016 menerima tawaran diskaun di antara 30 hingga 85 peratus dengan nilai pengurangan sebanyak RM278,365.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan kaedah pengurangan kadar kompaun secara automatik oleh SSM tersebut adalah sebagai langkah untuk memudahkan pihak-pihak yang ditawarkan dapat menyelesaikan kompaun dalam tempoh ditetapkan di samping menikmati pinjamatan kompaun yang diberikan.

“Kalau pihak yang dikenakan kompaun segera bayar, lagi cepat mereka bayar lagi tinggi nilai diskaun atau potongan SSM akan berikan iaitu sehingga 85 peratus, tanpa perlu menulis rayuan pengurangan, memadai dengan mereka segera membuat pembayaran.

“Ada beberapa peringkat tawaran diskaun yang diikat dengan bilangan hari yang mereka membuat bayaran, kaedah ini memberi kebaikan kepada pihak terlibat dan ia mematuhi keperluan perundangan dan peraturan kepada pembayar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selepas menyempurnakan majlis perasmian Persidangan SSM 2019 di Petaling Jaya, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abd. Aziz dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) SSM, Azimah Abdul Aziz.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, Saifuddin Nasution turut melancarkan Pelan Induk Skim Kepentingan yang bertujuan menetapkan hala tuju hadapan, menggariskan langkah dan strategi bagi mengembangkan industri skim kepentingan di negara ini.

“Skim kepentingan merupakan salah satu aktiviti ekonomi yang dikawalselia oleh SSM, ia mempunyai potensi besar yang belum diteroka dan kita percaya sudah sampainya skim kepentingan ini dipromosi dengan lebih agresif lagi.

“Antara nilai dan potensi yang ditawarkan melalui pelan pembangunan skim kepentingan adalah pembiayaan alternatif di mana skim ini menjadi kaedah dan penyelesaian pembiayaan yang inovatif dan fleksibel untuk perusahaan kecil dan sederhana selain mengambil peluang dari inovasi gaya hidup dengan menawarkan skim kepentingan yang seiring dengan trend gaya hidup contohnya kembara, kesihatan dan sukan,” katanya.-UTUSAN ONLINE.