Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jalan yang terlibat adalah Laman Perdana, Lebuh Wawasan, Persiaran Perdana, Lebuh Bestari, Lebuh Saujana, Jalan Pembangunan, Jalan Perpaduan, Jalan Kemerdekaan, Jambatan Wawasan, Lebuh Setia dan Jalan T.A Rahman.

“Kita akan menutup jalan tersebut dan membuat lencongan secara berperingkat bermula seawal pukul 6 pagi sehingga 12 tengah hari dan akan dibuka semula selepas acara selesai.

“Difahamkan, sebanyak kira-kira 6,000 lot parkir awam disediakan dan orang ramai juga digalakkan ke lokasi sambutan menaiki perkhidmatan bas yang disediakan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, sebanyak 186 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang raptai berlangsung manakala 1,165 petugas pasukan itu pada hari sambutan nanti.

“Seramai 300,000 orang dijangka hadir dan bagi memastikan keselamatan berada pada tahap terbaik, kita telah aturkan penugasan bermula pada 26 hingga 31 Ogos ini.

“Kita harap orang ramai dapat mematuhi segala arahan dan nasihat yang diberikan agar Sambutan Hari Kebangsaan akan berjalan dengan lancar,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE