Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam pe­ringkat Persekutuan, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut hari ini sejak ditubuhkan pada 30 Julai lalu.

Beliau berkata, surat rasmi akan dihantar kepada semua institusi berkenaan untuk menghantar memorandum atau mem­bentangkan cadangan pe­nambahbaikan kepada jawatankuasa tertinggi berkenaan yang akan beroperasi di Istana Negara lama.

“Institusi-institusi ini kami bahagikan kepada lima kluster iaitu pengurusan pentadbiran hal ehwal Islam, kewangan Islam dan ekonomi, pendidikan Islam, syariah dan perundangan, pertubuhan termasuk politik dan bukan kerajaan.

“Jawatankuasa tertinggi akan beroperasi selama lima bulan dan dalam tempoh tersebut, kajian, semakan penstrukturan semula bakal dibuat sebelum satu laporan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong pada awal 2019,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr. Afifi Al-Akiti serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi, Profesor Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan, Datuk Noh Gadut dan Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Dalam sidang akhbar itu juga, Ahmad Sarji turut mengumumkan tambahan dua lagi Ahli Jawatankuasa Tertinggi iaitu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar serta Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Sarawak, Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Terdahulu, watikah pelantikan kesemua panel disampaikan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad yang turut dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Ter­tinggi itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Sarji memberitahu, perjalanan mesyuarat akan berlangsung secara tertutup termasuklah tiada sebarang kenyataan kepada media sehinggalah laporan mengenainya siap lima bulan akan datang.

Beliau berkata, langkah itu sebagai menghormati setiap pandangan yang diutarakan oleh setiap pihak terlibat sepanjang proses perbincangan jawatankuasa tertinggi berkenaan.

Dalam pada itu, Afifi ketika ditemui selepas sidang akhbar memberitahu, jawatankuasa ter­tinggi tersebut juga terbuka kepada cadangan dan pandangan pertubuhan atau wakil daripada agama lain dan juga orang ramai.