Dalam program terakhir delegasi tersebut yang diketuai oleh Duta EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez di negeri ini, mereka masing-masing menyempurnakan syarahan umum di pelbagai Institusi Pengajian Tinggi serta sekolah-sekolah menengah terpilih di negeri ini bagi memperkenalkan negara mereka, berkongsi maklumat mengenai hubungan dua hala dengan Malaysia serta pengalaman amalan baik sistem pendidikan negara masing-masing dan mendapat respon yang amat baik dari para pelajar yang mengambil bahagian.

Institusi serta sekolah yang dikunjungi adalah Atilla Kali dari Hungary ke Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.

Dr. Michael Postl, Austria ke Institut Pendidikan Guru Malaysia Perlis: Frederic Laplanche, Perancis ke UiTM Perlis, Constantin Volodea Nistor dari Romania ke SMK Agama Alawiyah Kangar.

Maria Castillo Fernandez dari Kesatuan Eropah (EU) ke UniMAP, Kreso Glavac dari Croatia di SMK Sains Tuanku Syed Putra.

Krzysztof Debnicki dari Poland di MRSM Arau dan Jose Corvinos Lafuente dari Sepanyol di SMK Derma.

Nikolaus Graf Lambsdorff dari Jerman di SMK Dato Sheikh Ahmad dan Charge De Affairs (CdA) Filip Kanda Republik Czech di SMK Tuanku Lailatul Shahreen.

Pada kesempatan yang sama rata-ratanya para ahli delegasi amat memuji inisiatif bersepadu ‘Op Sifar Cicir Sekolah’ yang dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis yang turut mendapat perkenan penglibatan peribadi Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil melalui program MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf sepanjang tahun 2019 ini.

Pada sebelah petang sebelumnya ahli delegasi turut teruja dengan pengalaman menelusuri Sungai Perlis dari Jeti Kg Tok Kuning hingga ke muara Kuala Perlis dan balik yang berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan baru di negeri ini. - UTUSAN ONLINE