Antara yang memeriahkan majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd. Reza Mohd. Sani dan pegawai-pegawai kanan tertinggi ATM.

Selain itu, warga Tentera Darat, veteran, orang awam serta bekas Panglima Tentera Darat turut hadir memeriahkan majlis tersebut yang berkonsepkan Hari Raya di Perbatasan dengan objektif untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan anggota.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi turut menyampaikan pemberian duit raya kepada kanak-kanak yang hadir selain menyampaikan hadiah bagi beberapa acara pertandingan sepanjang majlis berlangsung.

Para pengunjung yang hadir juga disajikan persembahan daripada Badan Kesenian Tentera Darat; kumpulan D’Amore; D’Elektras, Amplifire 24; pasukan Drumline Muzik Tentera Darat serta pertunjukan bunga api dalam majlis tersebut.

Dalam majlis yang sama turut diadakan acara pemakaian pangkat kepada lima pegawai yang dinaikkan pangkat daripada Kolonel ke Brigediar Jeneral, Leftenan Kolonel ke Kolonel dan Mejar ke Leftenan Kolonel. - UTUSAN ONLINE