Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa, Muhammad Tasnim Kassim, 22, yang merupakan pemandu kereta jenis Perodua Viva maut dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Bagaimanapun, tiga penumpang kereta itu iaitu seorang wanita berusia 45 tahun, remaja lelaki berusia 13 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kemalangan itu berlaku ketika kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari arah Jalan Masjid Negeri menghala ke Jambatan Pulau Pinang.

“Apabila sampai di kawasan kejadian, kereta tersebut telah hilang kawalan dan terbabas ke bahagian kiri jalan.

“Kereta yang dipandu mangsa kemudiannya melanggar sebatang pokok,” katanya di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani mayat mangsa akan dibedah siasat hari ini bagi mengetahui punca kematiannya.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - UTUSAN ONLINE