Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa, Bernard Giduk, 62, melecur di bahagian belakang kerana cuba menyelamatkan sebuah motosikal dan sebuah lori miliknya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah memberitahu, seramai 16 anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran segera dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.45 malam.

“Sebaik tiba di sana, pasukan bomba mendapati rumah jenis kekal satu tingkat hangus terbakar.

“Penghuninya berjaya menyelamatkan diri namun, lelaki yang melecur pada bahagian belakang badan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Tuaran untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Operasi memadam kebakaran tamat pada pukul 10.45 malam.

Punca kejadian dan jumlah kerugian susulan insiden berkenaan masih dalam siasatan. - UTUSAN ONLINE