Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi, mangsa, Yusuf Hassan, 76, yang tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Paloh 1, maut selepas mengalami kecederaan di kepala akibat tercampak dari motosikal jenis Honda EX5 dinaikinya.

Penunggang motosikal jenis Yamaha FZ150, Muhammad Amirul Aiman Yahya Lotfi, 24, yang berasal dari Kampung Padang Tembesu Chabang Tiga Berangan, Tumpat pula patah tangan kanan dan luka di kening kiri.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kemalangan itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal seorang diri dari rumahnya di RKT Paloh 1 ke Bandar Chiku.

Katanya, setibanya di lokasi mangsa tiba-tiba membelok ke kanan untuk memasuki cabang tiga ke Bandar Chiku.

“Penunggang motosikal Yamaha dari arah sama cuba memotong mangsa tetapi tidak sempat mengelak apabila peneroka terbabit membelok memasuki simpang kanan itu.

“Akibat itu, berlaku pelanggaran dan kedua-duanya tercampak daripada motosikal masing-masing sebelum seorang daripadanya meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, Muhammad Amirul Aiman yang merupakan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dihantar ke Klinik Chiku 3 sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Katanya, hasil siasatan juga mendapati peneroka yang maut tidak mempunyai lesen memandu dan jenazahnya dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE