Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, mangsa, Mohamed Embong, 66, dari Kampung Rhu Dua meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang selepas membeli ayam di pasar berhampiran sebagai persiapan untuk menyambut Aidiladha esok.

Difahamkan dia membuat pusingan U secara tiba-tiba hingga menyebabkan pemandu bas ekspres ke Muar, Johor itu gagal menghentikan kenderaan sebelum merempuh motosikal mangsa.

Bas yang membawa lima penumpang dari Kuala Terengganu itu turut merempuh sebuah pondok bas di tepi jalan.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk bedah siasat. - UTUSAN ONLINE