Mayat wanita berusia 76 tahun ditemukan di celahan runtuhan bangunan selepas selesai pemadaman kebakaran.

Dua lagi mangsa iaitu seorang lelaki berusia 82 tahun dan seorang wanita berusia 51 tahun, masing-masing mengalami sesak nafas dan melecur lima peratus di bahagian belakang badan dan tengkuk.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P. Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.52 pagi berhubung kebakaran itu.

Beliau berkata, setibanya jentera di tempat kejadian, api didapati sedang marak membakar kediaman tersebut hampir 85 peratus.

"Anggota bomba dengan bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh membuat pemadaman dengan menggunakan dua aliran empat pancutan bersumberkan air dari jentera FRT dan Prime Mover sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

"Mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. - UTUSAN ONLINE