Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah hari itu, mangsa yang berusia 47 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 keluar dari simpang sebelah kiri dari arah Kampung Koh mahu melintas ke kanan jalan.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu lori simen tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa di bahagian hadapan.

“Mangsa mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 53 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Muhammad Hanif, kemalangan berpunca daripada mangsa yang secara cuai ketika keluar simpang sehingga menyebabkan pelanggaran.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE