Kenderaan itu berjaya dinaikkan bersama mangsa, Muey Yun Peng, 20, yang masih berada di tempat duduk pemandu.

Usaha menaikkan kenderaan itu bagaimanapun terpaksa mengambil masa lebih 24 jam selepas ditemukan pada tiang 34 Jambatan Pulau Pinang kira-kira pukul 4 petang semalam.

Ketika ini, usaha mengeluarkan mayat mangsa sedang dilakukan pasukan penyelamat di atas Jambatan Pulau Pinang sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

Usaha menaikkan kenderaan itu hari ini bermula kira-kira pukul 7 pagi tadi lagi dengan seramai 41 penyelam daripada empat agensi turun ke dalam laut bagi mengikat tali pada badan kenderaan itu.

Bagaimanapun, usaha itu hanya berjaya dilakukan kira-kira pukul 4 petang tadi berikutan arus di bawah laut yang agak deras selain faktor penglihatan penyelam pada paras sifar.

Kenderaan itu terjunam ke dalam laut awal pagi Ahad lalu selepas terbabit dalam kemalangan bersama Toyota Vios yang dipandu secara merbahaya dan melulu dalam kejadian kira-kira pukul 2.55 pagi. - UTUSAN ONLINE