NUR DALLIA YUSOFF

NUR DALLIA YUSOFF 

 

Wanita berkenaan, Nur Dallia Yusoff, 28, berkata, anak sulungnya itu, Annur Sumayyah Syabandi, 3, yang mesra dipanggil Sumayyah memberitahu, dia ternampak arwah neneknya, Faridah Hamid, 50-an semalam dan ingin pergi bersama-sama neneknya itu.

“Ibu saya meninggal dunia kira-kira 10 bulan, lalu, Sumayyah beritahu dia nampak arwah panggil dia dari atas semalam dan dia mahu pergi ke pangkuan ibu saya.

“Saya tidak sangka Sumayyah benar-benar pergi seperti mana ibu, kami kebumikan Sumayyah di sebelah kubur ibu saya di Tanah Perkuburan Jalan Gajah, Tanjong Tokong di sini pukul 2 pagi tadi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam, Annur Sumayyah maut akibat terkena bahagian belakang kereta Proton Saga yang merempuh bahagian depan rumah panjang itu selepas pemandunya tertekan pedal minyak ketika sedang mengundur kenderaan itu.

Nor Dallia yang kini sarat mengandung lapan bulan berkata, ketika kejadian, dia berada di dalam rumah manakala anak sulungnya itu berada bersama bapanya, Yusoff Chik, 54, di halaman rumah.

“Saya bergegas keluar sebaik sahaja mendengar bunyi dentuman kuat sebelum ternampak anak saya di tengah jalan manakala bapa saya juga cedera di bahagian tangan dan mengalami bengkak di kaki akibat dihempap pagar kayu,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Dallia berkata, dia reda dengan pemergian Sumayyah.

Katanya, wanita berusia 35 tahun yang melanggar anaknya adalah kenalannya sendiri yang datang ke rumah untuk melawatnya setelah lama tidak berjumpa kerana dia sebelum ini tinggal di Kuching, Sarawak.

Pada saya dia tak mungkin nak buat macam itu, bukan niat dia, Allah SWT dah letak takdir anak saya begini, saya reda," katanya. - UTUSAN ONLINE