Video oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Di atas jalan pula dipenuhi pokok-pokok dan tiang elektrik yang tumbang malah ada yang menghempap rumah serta kenderaan penduduk dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 4 pagi itu.

Lebih menyedihkan dalam kejadian yang disifatkan oleh penduduk kampung berkenaan sebagai yang terburuk dalam sejarah kampung berkenaan berlaku ketika umat Islam sedang me­nyambut Hari Raya Aidiladha.

Difahamkan sebanyak 63 buah rumah terlibat dalam bencana tersebut membabitkan lebih 200 mangsa de­ngan kerugian hampir RM2.6 juta.

Seorang mangsa, Nurul Asyikin Jomoen, 29, berkata, rumah batu yang dihuninya sejak lima tahun lalu bersama suami dan seorang anak musnah dalam sekelip mata akibat ribut dan puting beliung yang berlaku pada awal pagi itu.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama suami dan anak berusia lima tahun sedang tidur di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan angin kuat dan awan seolah-olah sedang berpusing datang ke arah mereka.

Ujarnya, pada masa itu, bumbung rumah sudah diterbangkan dan segala barangan di dalam rumah jatuh me­nyembah lantai.

“Kami bergegas lari menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah. Tidak sampai seminit, di depan mata kami, rumah yang menjadi tempat kami ber­teduh selama ini ranap dengan segala barangan musnah sama sekali.

“Kami tetap bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri. Kalau lewat seminit, berkemungkinan nyawa kami sekeluarga sudah melayang.

“Kami mengalami kerugian le­bih RM100,000 selain tinggal sehelai sepinggang,” katanya dalam nada sedih ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa, Syakila Idris, 36, menyifatkan kejadian yang berlaku itu sebagai dugaan Aidiladha yang mungkin mempunyai hikmah tersendiri.

“Meskipun segala harta benda musnah dalam kejadian puting beliung ini, namun saya dan keluarga tetap bersyukur kerana masih dipanjangkan nyawa,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 41 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Teriang di sini memohon agar pihak bertanggungjawab segera tampil membantu mereka yang mengalami musibah.