Di atas jalan pula dipenuhi pokok-pokok dan tiang elektrik yang tumbang malah ada yang menghempap rumah serta kenderaan penduduk dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu.

Lebih menyedihkan kejadian yang disifatkan oleh penduduk kampung berkenaan sebagai yang terburuk dalam sejarah itu berlaku ketika umat Islam sedang menyambut Hari Raya Aidiladha

Difahamkan sebanyak 63 buah rumah terlibat dalam bencana tersebut membabitkan lebih 200 mangsa dengan anggaran kerugian hampir RM2.6 juta.

Seorang mangsa, Nurul Asyikin Jomoen,29, berkata, rumah batu yang dihuninya sejak lima tahun lalu bersama suami dan seorang anak musnah dalam sekelip mata akibat ribut dan puting beliung itu.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama suami dan anak berusia lima tahun sedang tidur di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan angin kuat dan awan seolah-olah sedang berpusing datang ke arah mereka.

Katanya, pada masa itu, bumbung rumah sudah diterbangkan dan segala barangan di dalam rumah jatuh menyembah lantai.

“Saya, suami dan anak kemudiannya bergegas lari menyelamatkan diri dengan keluar daripada rumah. Tidak sampai seminit, di depan mata kami, rumah yang menjadi tempat mereka berteduh selama ini runtuh dengan segala barangan musnah sama sekali.

“Bagaimanapun, kami tetap bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri. Kalau lewat seminit, berkemungkinan nyawa kami sekeluarga sudah melayang.

“Akibat kejadian itu, kami sekeluarga dianggarkan mengalami kerugian lebih RM100,000 selain tinggal sehelai sepinggang,” katanya dalam nada sedih ketika ditemui di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE