Ketika ini, usaha mencari dan menyelamat itu juga dibantu oleh aset-aset daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM);  Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Koordinator operasi mencari dan menyelamat (SAR) (MRSC) Langkawi Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Rozali Mohd. Said berkata berkata, aset-aset yang terlibat itu termasuk Bot Kilat  dari Maritim Negeri Perak bersama-sama 14 penyelam termasuk enam  penyelam daripada Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia. 

Katanya, pasukan penyelam TLDM  turut menyertai operasi dengan kekuatan satu pasukan penyelam KD Duyong seramai sembilan orang dan Bot CB 001 dibantu oleh Pasukan Simpanan Sukarela TLDM KD Perantau dari Pangkalan TLDM Lumut.

Turut terlibat, tambah beliau, adalah aset  Pasukan Polis Marin iaitu Bot RH dan Bot ZABRI 1 selain dua buah bot aluminium Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Operasi disambung  seawal pukul 7 pagi tadi dan semua agensi yang terlibat  diberi taklimat di Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban, Pulau Pinang sebelum operasi diteruskan.

"Sektor pencarian dibahagikan kepada empat berdasarkan aset-aset yang terlibat dengan kawasan pencarian merangkumi dua batu nautika radius dari lokasi kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang awam melaporkan jika melibat mangsa atau objek di sekitar kawasan berkenaan di talian  24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.55 pagi semalam, kenderaan SUV yang dinaiki penuntut kolej, Moey Yun Peng, 20, terjunam ke dalam laut selepas dilanggar sebuah kereta Toyota Vios yang terbabas.

Sehingga kini, mangsa yang dipercayai terperangkap di dalam kenderaannya itu masih gagal ditemui manakala pemandu Toyota Vios yang cedera dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP). - UTUSAN ONLINE