Komanden Operasi, Penguasa Bomba, Mohd. Shafiq Ramli berkata kepada UTUSAN ONLINE, operasi mencari dan menyelamat mangsa bermula sejak pukul 8 pagi tadi.


Beliau berkata, radius mencari dan menyelamat mangsa yang hanyut bersama motosikalnya semalam, mencakupi 10 kilometer bermula dari lokasi mangsa dihanyutkan.


“Pencarian bermula di Sungai Hulu Langat berdekatan IKBN Dusun Tua di Batu 14 di mana di situ mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras.


“Pencarian menyelusuri Sungai Hulu Langat, Sungai Tekali, Sungai Semungkis sehingga ke Jalan Kuari yang lebih kurang 10 kilometer,” ujarnya.


Katanya, pasukan mencari dan menyelamat dibahagikan kepada dua dan salah satu daripada pasukan pencarian ditempatkan di IKBN Dusun Tua.


Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa turut dibantu oleh Pasukan Khas dari Shah Alam, Pelabuhan Klang, unit K9 dan penyelam.


Mengulas tentang kesukaran operasi mencari dan menyelamat ini, Mohd. Shafiq berkata, keadaan sungai yang cetek dan dalam agak menyukarkan bot penyelamat.


“Dasar sungai pula berbatu-batu dan berakar. Bagaimanapun pasukan mencari dan menyelamat akan terus berusaha mencari mangsa,” katanya.


Semalam, rakaman video seorang lelaki cuba menyelamatkan motosikalnya yang terjatuh ke dalam sungai selepas hujan lebat di kawasan Batu 14, Hulu Langat, turut hanyut dibawa arus deras.


Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan ekoran itu, pasukan bomba dan penyelamat yang menerima laporan tentang kejadian, berusaha untuk mencari dan menyelamat mangsa.


Mangsa dipercayai penduduk tempatan. - UTUSAN ONLINE