Menurut sumber Utusan Online, Robbie, keadaan mereka semakin terhimpit dan terdesak kerana ketiadaan bantuan kemanusiaan yang dapat sampai kepada mereka.

Beliau kini menjadi antara ribuan mangsa gempa di Lombok apabila semalam, gempa susulan yang berlaku di kota Cakranegara telah memusnahkan rumahnya.

“Sekarang saya sendiri tidak mempunyai rumah untuk berlindung. Saya terpaksa membawa isteri dan dua orang anak saya tinggal di dalam khemah perlindungan sementara.

“Bagaimanapun,  dalam apa juga keadaan, saya tidak patah semangat sebaliknya  bersama Lombok Expose Community (LEC), kami terus bergerak menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa gempa yang lain yang mampu kami peroleh hasil derma orang perseorangan,” kata Robbie melalui aplikasi WhasApp kepada wartawan Utusan Online hari ini.

Robbie berkata, semua kedai dan bangunan di Mataram, Cakranegara dan Ampenan musnah dan tiada siapa yang boleh menjalankan operasi harian.

Justeru beliau berkata, mangsa-mangsa gempa di Lombok amat memerlukan bantuan dari pihak luar walaupun tentera Indonesia ada menghantar bantuan seperti rumah sakit bergerak dan bot-bot penyelamat untuk membawa keluar mangsa yang tersekat ke tanah besar.

“Setakat ini memang pihak pemerintah ada menghantar bantuan tentera untuk menjaga keselamatan harta benda di kawasan-kawasan atau lokasi gempa bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian kecurian.

“Dalam situasi begini, memang tidak dinafikan ada yang mengambil kesempatan di atas kesusahan yang menimpa.  Musibah yang terjadi tidak diambil sebagai pengajaran sebaliknya mereka mencuri barang-barang mangsa,” ujarnya.

Semalam, cerita Robbie, apabila berlaku gempa susulan di Cakranegara yang jarak dengan rumahnya hanya satu kilometer, beliau pasrah menyelamatkan keluarga.

“Saya bersyukur kerana tiada yang cedera dan sempat menyelamatkan diri. Sekarang, pihak polisi terpaksa mengambil tindakan merobohkan bangunan-bangunan yang separuh roboh ekoran gegaran kuat yang dialami.

“Jika bangunan ini tidak dirobohkan, kita bimbang ada orang yang akan tertimbus jika mereka cuba berlindung di dalam bangunan yang telah rosak,” katanya.

Beliau turut memberitahu, bantuan yang ditungu-tunggu dari luar masih belum diterima sehingga ke hari ini, termasuk bantuan kewangan.

“Ya benar, bantuan makanan dan air bersih yang dihulurkan masih tidak mencukupi. Bahkan ada konvoi bantuan makanan tidak sampai ke destinasi yang dituju kerana dihalang oleh penduduk di tengah jalan.

“Hari ini, kami sukarelawan Lombok Expose Community (LEC)  akan cuba menghantar bekalan makanan dan minuman serta keperluan lain kepada mangsa-mangsa gempa yang kedudukannya jauh lebih terkedalam,” kata Robbie.

Selain makanan dan bekalan air bersih, mangsa-mangsa gempa bumi di Lombok, kata Robbie, memerlukan sembako iaitu beras, minyak, air mineral selain daripada selimut, ubat-ubatan, pakaian, khemah, generator dan barangan keperluan asas yang lain.

Kepada rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan bantuan boleh salurkan bantuan kewangan kepada BCA (Bank Central Asia) Lombok NTB cawangan Cakranegara rek 0561173817,  Nama: Zakiyah, Bank code 014 swift code: CENAIDJA. - UTUSAN ONLINE