Kejadian yang dirakamkan oleh kamera litar tertutup kedai itu menjadi tular di laman sosial hari ini.

Difahamkan kemalangan itu dikatakan berlaku ketika pemandu kereta jenis Perodua Viva itu terbabas melanggar kedai tersebut.

Pemandu yang 67 tahun itu bersama isterinya dikatakan dalam perjalanan dari Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Jerteh, Terengganu.

Lelaki yang enggan dikenali itu berkata, dia tidak sedar bagaimana boleh terbabas sehingga merempuh kedai makan berkenaan.

“Tetapi saya memang mengantuk sebelum itu dan berhasrat berhenti di mana- mana kedai makan. Tapi tak sangka berhenti dengan cara begini.

“Kami kerap berulang alik dari Jerteh ke kampung halaman isteri saya di Bayan Lepas, namun ini kejadian yang pertama kali berlaku,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, pemilik kedai tersebut, Noraini Mat Zin, 48, berkata, rempuhan itu menyebabkan dua batang tiang patah serta tiga meja makan kaca pecah dan peralatan masakannya rosak.

Bagaimanapun katanya, hanya seorang pelanggannya mengalami kecederaan ringan manakala beberapa orang lagi terselamat.

“Kejadian ini berlaku sekelip mata. Saya sedar bila tengok keadaan kedai bersepah. Saya alami kerugian kira-kira RM5,000,” katanya. - UTUSAN ONLINE