Bapa Haziq, Ishak Abdul, 56, dari Kampung Leret, Bandar Baharu berkata, kali terakhir dia bertemu anak kelima daripada enam beradik itu pada pukul 9 malam tadi.

“Kami berempat termasuk isteri, Zuhainon Salim, 54, serta anak bongsu, Siti Nur Adawiyah, 16, sudah berada dalam kereta untuk keluar makan sebelum Haziq memarahi adiknya kerana menutup pintu kereta dengan kuat sehingga terkena jari ibunya.

“Akibatnya, Haziq merajuk lalu enggan keluar lagi. Saya percaya dia keluar dengan rakan baiknya, Haikal selepas itu. Memanglah saya terkilan tetapi perkara nak jadi, saya reda,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Dalam kejadian 10.15 malam itu, Haziq dan rakannya, Muhammad Haikal Hakimi Mohd. Noor maut setelah tertimbus ketika melalui jambatan yang tiba-tiba runtuh di Taman Serdang Bandar Baharu.

Menurut Ishak, kedua-dua remaja tersebut sudah berkawan rapat sejak beberapa tahun lepas setelah keluarganya berpindah ke Kampung Leret dari Terengganu.

“Haziq seorang anak baik dan banyak membantu isteri yang mengusahakan perniagaan keropok lekor,” katanya.

Dalam pada itu menurut bapa saudara Muhammad Haikal Hakimi, Saharudin Ismail, 56, kematian anak yatim itu sangat mengesankan keluarga mereka terutama ibunya, Norihan Che Doh, 48.

“Haikal merupakan anak tunggal dan harapan ibunya yang merupakan ibu tunggal. Kehilangannya pasti terasa apatah lagi arwah bakal menduduki peperiksaan SPM nanti.

“Ibunya yang turut ke lokasi semalam hampir pengsan,” katanya.-UTUSAN ONLINE