Antara kawasan terjejas adalah di Bazar Jalan Melayu Masjid India, Lebuh Ampang, Persiaran Ampang Hilir, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang, dan Taman Sri Rampai.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, seramai 98 petugas termasuk warden trafik, unit tunda dan skuad penyelamat DBKL terlibat dalam operasi membantu kawasan-kawasan terjejas banjir kilat.

"Terdapat kenderaan yang terkandas di beberapa kawasan terjejas dan telah dibantu oleh petugas di lapangan.

"Kawasan perniagaan di Masjid India dinaiki air ekoran limpahan air Sungai Klang di Stesen LRT Masjid Jamek," katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun jurucakap DBKL berkata, air mulai surut kira-kira pukul 5.30 petang dan kebanyakan kawasan terjejas mulai pulih seperti biasa sejam kemudian.

Sementara itu, di Taman Sri Rampai, banjir kilat yang berlaku adalah kejadian berulang setelah beberapa siri kejadian sejak lebih setahun lalu.

Kerja-kerja projek pembinaan dan naik taraf jalan berhampiran kawasan perumahan itu didakwa antara punca banjir kilat dan lumpur. - UTUSAN ONLINE

Video daripada MEDIA SOSIAL