Kejadian itu turut tular di media sosial sejak semalam apabila sebuah video berdurasi 12 saat memaparkan anggota bomba cuba mengalihkan sebuah kereta yang diparkir di hadapan balai bomba berkenaan dengan menolaknya tetapi gagal kerana brek tangan ditarik.

Ekorab kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6 petang itu, pengguna media sosial mengecam tindakan pemandu kereta berkenaan yang disifatkan tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri sendiri.

Seorang pengguna Facebook, Sherry Al Edruce berkata pemandu kereta tersebut menghalang tugas penjawat awam dan perlu dikenakan tindakan.

“Mengganggu tugas penjawat awam, mohon ambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Sabak Bernam, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Saufi Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, anggotanya cuba mengalihkan kereta itu yang menghalang laluan keluar jentera bomba sebelum pemandu kenderaan itu datang kira-kira tiga minit kemudian lalu memindahkan keretanya dari lokasi kejadian.

“Orang ramai dinasihatkan agar lebih prihatin dan memberikan kerjasama kepada pihak bomba dengan tidak meletakkan kenderaan sehingga boleh menghalang anggota atau jentera bomba menjalankan tugas terutama ketika berlaku kecemasan,”katanya.

Sebelum itu, BBP Sabak Bernam menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Haji Suhaimi, Sepintas.

Dalam kemalangan itu, penunggang motosikal, iaitu seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun maut manakala pemandu kereta cedera ringan di kepala dan badan. -UTUSAN ONLINE