Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, kebakaran bermula pukul pagi itu telah menyebabkan pencemaran udara yang teruk di kawasan Permyjaya apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan amat tidak sihat iaitu 228 ketika ini.

Beliau berkata, tindakan pantas 28 anggotanya memadamkan kebakaran termasuk melibatkan operasi Unit Udara Bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak ke kawasan lain.

“Selain operasi di darat, pasukan bomba turut melakukan pemadaman menggunakan semburan air dari sebuah helikopter jenis Mi17i untuk mengawal api merebak.

“Kebakaran berpunca daripada rumput terbakar di tepi jalan di Jalan Curtin University itu akhirnya berjaya dikawal dan dipadamkan selepas helikopter melakukan semburan di kepala api berdekatan ladang kelapa sawit,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Sementara itu, laman web Jabatan Alam Sekitar melaporkan, hanya kawasan Permyjaya yang mencatatkan bacaan IPU amat tidak sihat ketika ini, manakala lain-lain bahagian di negeri ini berada pada paras sederhana. - UTUSAN ONLINE