Kejadian kira-kira pukul 4.23 petang itu mengakibatkan dua beradik iaitu Zulkarnain Ajizul, 5, dan Zulfadli Ajizul, 2, mati rentung.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohammad ketika dihubungi mengesahkan insiden tersebut.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dan BBP Betong telah diarahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.25 petang.

"Tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 5.15 petang, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah satu tingkat jenis tidak kekal itu.

"Pasukan bomba dimaklumkan terdapat dua kanak-kanak terperangkap dalam kediaman berkenaan semasa kejadian itu sebelum kebakaran terkawal pada pukul 6.10 petang," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Nor Hisham berkata, operasi mengeluarkan mangsa kemudian dilakukan sebelum menyerahkan mayat kedua kanak-kanak itu kepada pihak polis pada pukul 6.20 petang.

"Buat masa ini, pasukan bomba masih menyiasat punca kebakaran," katanya. - UTUSAN ONLINE