Penyelidikan dan pembangunan (R&D) mesin diberi nama Ultrafiltration/Reverse Osmosis Plant itu diketuai Pengarah AMTEC, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail de­ngan kerjasama Kementerian Sains, Tek­nologi dan Inovasi.

Ahmad Fauzi yang pernah menerima Anugerah Saintis dan Teknologis Muda Asean pada 2001 dan penerima Anugerah Merdeka 2014 berkata, R&D bagi penghasilan mesin penapis air mudah alih itu dimulakan kira-kira tiga tahun lalu bersama lima penuntut ijazah Doktor Falsafah (PhD) AMTEC.

Menurutnya, mesin yang ber­operasi menggunakan generator itu mampu menghasilkan sekitar 5,000 liter air bersih dalam masa satu jam untuk kegunaan 2,000 orang sehari tanpa perlu dimasak.

“Sistem penapisan yang digunakan ini boleh menghasilkan air minuman yang bersih dan selamat dengan lebih mudah serta pantas bagi membantu mangsa.

“Air yang ditapis akan melalui lima modul atau peringkat rawatan iaitu pra-rawatan, turasan-ultra, osmosis berbalik, sinaran ultraviolet (UV) dan bahan pelembut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran mesin penapis air tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Acheh, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur; Naib Canselor UTA, Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Sementara itu, Ahmad Fauzi yang juga Dekan Penyelidikan, Penyelidik Bersekutu, Bahan dan Pembuatan UTM berkata, teknologi osmosis berbalik dan turasan-ultra yang digunakan membolehkan mesin penapis itu merawat air dari pelbagai sumber termasuk air laut, payau dan air yang keruh.

“Sementara itu, sinaran UV pula digunakan bagi membunuh bakteria dan virus yang terdapat dalam air yang diproses,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, mesin berkenaan merupakan 100 peratus menggunakan teknologi tempatan dan pemasangannya dibuat di UTM sendiri.

“Kita mencadangkan kerajaan menyediakan sekurang-kurangnya 10 set mesin ini di setiap negeri bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan air bersih dengan kadar segera jika bencana seperti banjir berlaku,” katanya.