Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa, Monsur Ali Sha Alam, 18, yang berasal dari Myanmar meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian kepala dalam kemalangan berlaku pukul 2.42 petang.

MONSUR ALI SHA ALAM
MONSUR ALI SHA ALAM 

Menurutnya, mangsa tinggal di Kampung Sungai Emas, Kota Kuala Muda dan memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta itu datang dari arah Sungai Petani dan cuba membelok ke kanan untuk masuk ke lorong Taman Permata Indah.

“Manakala penunggang motosikal itu pula dari arah Butterworth menghala ke Sungai Petani.

“Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal itu di dipercayai tidak sempat mengelak dan terus melanggar bahagian pintu kereta hadapan sebelah kiri sewaktu pemandunya hendak masuk ke Lorong Taman Permata Indah disini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, pemandu kereta itu yang merupakan seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Nur Hasyimah Zulkiflee, 20, dari Taman Permata Indah, Sungai Petani bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani di sini untuk dibedah siasat esok.

Adzli menambah, kes disiasat di bawah Sek. 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE