Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, tiga lagi mangsa termasuk dua anak pasangan suami isteri berkenaan berusia tiga dan tujuh tahun terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan. 

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, tiga mangsa yang maut ialah pemandu Proton Saga BLM, Mohd. Fairuz Haron, 30-an dan isterinya yang duduk di bahagian penumpang hadapan, Eziani Abu Bakar, 34, serta pemandu Perodua Myvi, Lee Boon Yong, 22. 

Menurutnya, tiga mangsa yang terselamat pula merupakan anak pasangan yang maut itu, Nurul Fatiha Adelia, 7, dan Muhammad Amirul Asyraf serta penumpang bahagian hadapan Perodua Myvi, Siah Shi Yang, 21. 

"Kejadian dipercayai berlaku selepas Perodua Myvi dari arah Melaka yang dalam perjalanan ke Muar, Johor terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan dinaiki empat sekeluarga dari Muar itu. 

"Akibat rempuhan itu, tiga daripada enam mangsa maut serta merta di tempat kejadian dipercayai akibat impak dalaman," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian sebentar tadi.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala tiga yang cedera turut dihantar ke hospital sama bagi tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE